MADINAH: Anda wanita. Anda ditawarkan sebagai bakal jemaah haji. Tetapi anda hamil. Apa perancangan terbaik boleh disarankan kepada anda?

Ini saranan daripada Pengarah Operasi Madinah (Kesihatan), Dr Mahyin Kudong.

Menurut beliau, jika berada dalam situasi yang seperti di atas, bakal jemaah haji wanita yang mendapat tawaran mengerjakan haji bagi musim haji 1445H/2024M dan jika didapati mengandung dinasihatkan menangguhkan dahulu pemergiannya pada tahun ini.

"Sebaiknya tangguh dahulu. Boleh berbincang dengan Tabung Haji apa perancangan seterusnya."

"Hal ini kerana, jika bakal haji wanita itu hamil atau mengandung, dibimbangi mengganggu tahap kesihatan bayi dalam kandungan dan ibu itu sendiri," katanya sesi temu bual bersama petugas media di sini.

Antara lain, tambah Dr Mahyin, risiko keguguran amat tinggi kerana di Tanah Suci, jemaah haji wanita dan lelaki banyak berjalan dan berlaku pergerakan yang agresif.

“Atas sebab itulah kita nasihatkan supaya mereka menangguhkan pemergian pada tahun berkenaan.

"Tidak kira kehamilan jemaah itu berada pada tahap mana, mereka mengandung sama ada kandungan tahap pertama, kedua dan ketiga risiko keguguran tetap ada, malah amat tinggi," ujar beliau.

Beliau menambah, jemaah haji wanita itu turut disaran bertanyakan kepada Tabung Haji serta berbincang dengan pihak mereka untuk mempertimbangkan tawaran giliran pada tahun seterusnya selepas melahirkan apabila menolak atas alasan hamil.

Ditanya jika sudah berada di Tanah Suci dan seseorang jemaah wanita itu didapati hamil, Dr Mahyin berkata, mereka dinasihat untuk kurangkan aktiviti agresif kerana dibimbangi bayi dalam kandungan akan terjejas.

"Kalau sudah sampai di Tanah Suci tetapi didapati positif hamil, berserah sahaja kepada Allah," ujar beliau.